Sunday, September 23, 2007

fAscinAting fiRefLieS

sebelum menaiki bot menyelusuri Sungai Johor
Salah satu destinasi pelancongan menarik yang menjadi kajian kami ialah aktiviti melihat Kunang-kunang di sepanjang Sungai Johor. Hasil temuramah dan soal selidik, kami mendapati terdapat dua syarikat milik dua orang individu yang menjalankan aktiviti pelancongan melihat kunang-kunang ini secara sah. Salah satunya yang terdapat di tepi sungai di dalam pekan Kota Tinggi. Pemilik berkenaan merupakan seorang warga cina dan telah menjalankan aktiviti ini secara sah sejak dari tahun 1960-an lagi. Menurut beliau, idea membuka syarikat pelancongan ini datang apabila beliau sendiri menyusuri sungai Johor 40 tahun yang lalu dan mendapati di sepanjang sungai berkenaan memang banyak dihuni oleh spesies kunang-kunang yang jarang ditemui . Oleh itu, beliau pun memulakan perniagaan tersebut. Pada awal pembukaannya sehingga sebelum peristiwa banjir yang dasyat berlaku pada penghujung bulan Disember dan awal Bulan Januari berlaku, pelancong yang datang untuk melihat Kunang-kunang tidak dinafikan memang ramai bilangannya sehingga beliau sendiri terpaksa menambah bot-bot laju untuk memenuhi kehendak pelancong. Kebanyakan pelancong yang datang adalah terdiri daripada pelancong asing dari Singapura, Korea, Jepun dan Eropah dan juga pelancong tempatan. Setelah berlakunya peristiwa banjir yang melanda daerah berkenaan dengan teruk sekali, sebulan selepas kejadian banjir, memang tiada langsung pelancong yang datang untuk melihat kunang-kunang di sungai Johor. Keadaan ini menyebabkan beliau terpaksa menanggung kos yang boleh dikatakan agak tinggi ekoran daripada ketiadaan pelancong yang ingin melawati kawasan berkenaan. Dua bulan selepas kejadian banjir yang berlaku pada awal bulan Januari, barulah pelancong mula datang untuk menikmati keindahan kelipan kunang-kunang pada waktu malam. Menurut beliau lagi, walaupun syarikat beliau sudah lama beroperasi semula, tetapi jumlah pelancong yang datang melawat kawasan tumpuan kunang-kunang sangat kurang jika hendak dibandingkan dengan keadaan sebelum berlakunya peristiwa hitam yang menghantui semua penduduk dan peniaga di kawasan Kota Tinggi. Mungkin juga menurut pendapat beliau, ketika banjir berlaku di sepanjang sungai Johor, ia telah menghapuskan habitat dan juga sumber makanan kunang-kunang berkenaan. Dan ini memang diakui sendiri oleh jurupandu bot bernama Din dari Indonesia yang membawa kumpulan kami melawati tempat kunang-kunang di sepanjang sungai berkenaan . Kami juga terpesona melihat keindahan khazanah alam ini. Satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

No comments: