Sunday, September 30, 2007

Migrasi-Bajet 2008

Bajet 2008 mengenai kemasukan pekerja berkemahiran tinggi
Memudahkan Kemasukan Pekerja Berkemahiran Tinggi

"Mutu modal insan, terutamanya golongan profesional dan berkemahiran, adalah faktor kritikal bagi menarik pelaburan yang berkualiti. Dengan itu, di samping memperkasa modal insan tempatan, kerajaan akan menggalak dan memudahkan kemasukan pekerja asing berkemahiran yang akan menambah nilai kepada ekonomi negara. Untuk ini, Jabatan Imigresen akan memendekkan tempoh memproses permit kerja kepada tujuh hari untuk pekerja berkemahiran berbanding dengan 14 hari sebelum ini.
Jabatan Imigresen juga akan memperkenalkan satu kategori visa baru bagi ahli perniagaan dan profesional asing yang mempunyai tempoh sah lebih panjang. Di samping itu, ciri-ciri lain bagi memudahkan proses kemasukan akan diperkenalkan. Semua langkah ini akan berkuat kuasa 1 Januari 2008.
Bilangan syarikat multinasional yang menubuhkan pejabat serantau di Malaysia kian meningkat. Mereka memerlukan kakitangan yang berkemahiran tinggi untuk kerap berulang-alik ke negara ini. Adalah penting kemasukan mereka ke negara ini dipermudahkan. Oleh yang demikian, mulai 1 Januari 2008, proses mendapatkan pas lawatan profesional bagi pekerja berpengetahuan akan dipercepatkan dengan membolehkan permohonan dibuat di pejabat kedutaan dan konsulat Malaysia di luar negara.
Kerajaan telah pun memperkenalkan multiple entry visa (MEV) bagi warganegara China dan India. Pada masa ini, visa tersebut hanya boleh dipohon di negara asal mereka. Kerajaan telah membuat keputusan supaya warganegara China dan India dibenarkan memohon MEV dari mana-mana tempat mereka bermastautin atau bekerja. Sebagai permulaan, kemudahan ini akan diperkenalkan di pusat kewangan antarabangsa, seperti New York, London, Hong Kong dan Singapura, berkuat kuasa 1 Januari 2008."

Petikan di atas dipetik dari Utusan Online dan ia merupakan ucapan asal Perdana Menteri Malaysia mengenai bajet 2008. Jelas di sini, kerajaan ingin memudahkan migrasi daripada luar negara untuk membolehkan mereka bekerja di Malaysia untuk pembangunan Negara. Terdapat pelbagai kesan positif migrasi ke Negara ini. Pertama, yang jelas di sini ialah migran akan mengisi kekosongan pekerjaan yang tidak ingin diisi oleh pekerja tempatan. Contohnya, yang dapat dilihat semasa pembinaan KLCC. Migran asing sedia bekerja dan menggantikan kekosongan ini. Hasilnya, siaplah mercu tanda yang menjadi kebanggan Malaysia seterusnya menggalakkan lagi pembangunan Kuala Lumpur. Selain itu, seperti yang diperkatakan oleh teori Lipton, kemajuan tertumpu ke Bandar untuk menarik pelabur. Lambakan tenaga kerja yang murah ini dapat menarik kemasukan pelabur asing untuk melabur di Malaysia di samping kewujudan infrastruktur yang menggalakkan mereka untuk membuka kilang di Malaysia. Ini memberi kesan kepada aliran matawang dan menaikkan ekonomi Negara.Selain itu, kemasukan migran asing dapat menggalakkan wanita Malaysia membina karier sendiri. Mereka yang datang untuk bekerja sebagai pembantu rumah, dapat memberi peluang kepada suri rumah untuk keluar mencari rezeki. Secara tidak langsung, kaum wanita dapat memberi sumbangan kepada pembangunan Negara. Seterusnya, migrasi dapat memberi kesan kepada pembangunan Bandar. Ini dapat dilihat dengan penambahan dan pembaikpulihan prasarana untuk menampung migrant jadi kerajaan perlu memesatkan pertumbuhan ekonomi di Bandar. Ini mempercepatkan pembangunan sesebuah bandar.

Monday, September 24, 2007

keSimpuLAn KaJIan yang MenjAwab segaLA perSoalan


KESIMPULAN

Sesi dialog bersama Ketua Kampung bahagian Kota Tinggi

Utara, Tuan Haji Zainuddin telah memberikan kenyataan bahawa sektor pelancongan di Kota Tinggi telah pulih sepenuhnya selepas banjir. Pada masa sekarang, terdapat peningkatan dalam jumlah pelancong yang datang ke Kota Tinggi. Kejadian banjir yang berlaku pada 2006/2007 merupakan kejadian banjir yang paling teruk direkodkan antara 10 banjir yang telah berlaku sebelum ini. Kajian ini telah merungkai segala persoalan yang telah kami timbulkan diawal kajian kami

Muzium Kota Tinggi

MUZIUM KOTA TINGGI






Berdasarkan statistik yang kami dapati daripada pihak Muzium Kota Tinggi, bilangan pengunjung yang datang pada bulan Disember 2006 adalah 942 orang diikuti dengan bulan Januari 2007 sebanyak 163 orang dan pada bulan Februari 2007 sebanyak 272 orang. Pengunjung yang datang melawat Muzium Kota Tinggi kebanyakannya terdiri daripada orang awam, pelajar dan pelancong asing. Pada keseluruhannya, dapat disimpulkan bahawa bilangan pengunjung semakin berkurang apabila masuk tahun 2007 dan kemudiannya meningkat menjelang tengah tahun 2007.Menurut temuramah kami bersama Penolong Pengurus Muzium Kota Tinggi, Cik Asniza binti Uda, bilangan pengunjung ramai pada awal bulan Disember kerana pada waktu itu adalah musim cuti sekolah dan gelombang banjir pertama belum berlaku. Bilangan pengunjung semakin berkurang apabila masuk bulan Januari 2007 kerana pada waktu itu, gelombang banjir kedua telah berlaku dan daerah Kota Tinggi telah ditenggelami air. Walaupun Muzium Kota Tinggi tidak ditengelami air sepenuhnya dan paras air hanya setakat tempat meletak kenderaan, bilangan pengunjung tetap terjejas kerana sukar untuk pengunjung datang melawat muzium pada waktu itu. Walau bagaimanapun, bilangan pengunjung semakin bertambah selepas banjir surut iaitu menjelang awal bulan Februari 2007.

Soal Selidik peniaga

soal selidik terhadap peniaga




Soal selidik dijalankan terhadap resonden yang kebanyakannya berumur diantara 40 tahun dan keatas. Majoriti peniaga di Kota Tinggi, terutamanya di kawasan Bazar Kota Tinggi adalah berketurunan Melayu. Terdapat juga peniaga yang berbangsa Kemboja yang telah lama menetap didaerah Kota Tinggi . 92% peniaga menyatakan bahawa peniagaan mereka terjejas teruk sekali semasa kejadian banjir 2006/2007. Pada perspektif peniaga, tarikan pengunjung ke Kota Tinggi adalah aktiviti membeli-belah. Ini kerana Bazar Kota adalah terkenal dengan jualan kain-kain dan dinamakan ‘Mini Kelantan’ oleh pengunjung kerana aktivi perniagaan dipelopori oleh peniga dari Kelantan. Ini diikuti pula dengan tempat-tempat bersejarah dan khazanah alam semulajadi seperti Air Terjun Kota Tinggi dan kunang-kunang. Pengunjung biasanya terdiri daripada penduduk Malaysia(56%) sendiri dan juga terdapat juga pengunjung dari Singapura(37%) dan lain-lain (7%). Kebiasaanya pengunjung ke Kota Tinggi datang pada musim cuti persekolahan (73%) dan juga awal dan akhir tahun (27%). Bilangan pengunjung dikatakan semakin berkurangan(47%) selepas kejadian banjir 2006/2007, tiada perbezaan (23%) dan semakin ramai pengunjung ( 30%). Majoriti peniaga yang kami temui menyatakan bahawa kejadian banjir 2006/2007 berpunca daripada bencana alam semulajadi (36%), hujan yang turun dengan lebat (21%), sungai yang cetek (21%), dan juga system perparitan yang tidak sempurna (14%).

repoRts on Hotels in kOtA tiNGGi~


Hotel-hotel di Kota Tinggi





Hotel Grand Waterlilies adalah salah sebuah hotel yang terletak di bandar Kota Tinggi. Pengurus hotel ini En. Lim walaupun sudah nampak agak berumur namun kelihatan sangat bertenaga untuk ditemuramah oleh pihak kami. Beliau mengatakan bahawa hotel ini telah dirasmikan sebelum berlakunya banjir yang melanda pada bulan Disember 2006 dan Januari 2007. Namun begitu, hotel ini mula beroperasi semula selepas banjir selama 2 bulan. Menurut En. Lim, bencana banjir telah mendatangkan kerugian yang besar kepada hotel ini. Pihak hotel memerlukan masa selama 5-6 bulan untuk melengkapkan semula peralatan-peralatan yang telah musnah akibat banjir. Tambahan beliau, pelancong yang kerap mengunjungi hotel ini adalah terdiri daripada pelbagai bangsa asing seperti Jepun, Singapura, negara-negara Eropah dan tidak lupa juga terdiri daripada penduduk-penduduk tempatan sendiri yang berbilang bangsa. Kebanyakan pelancong yang datang adalah bertujuan untuk mengunjungi kawasan-kawasan yang menarik di Kota Tinggi seperti Sg. Johor untuk melihat kunang-kunang pada waktu malam, membeli belah di mini kelantan (sebuah pusat jualan tekstil besar-besaran), Makam Laksamana Bentan di Kg. Kelantan dan air terjun Kota Tinggi. Selain itu pelancong-pelancong juga menginap di hotel ini sebelum meneruskan perjalanan mereka untuk melancong ke pulau-pulau yang berdekatan seperti Pulau Besar dan Pulau Sibu.Kelebihan hotel ini lebih teserlah dengan layanan istimewa yang diberikan oleh pihak hotel kepada para pelanggan. Selain itu harga bagi penginapan juga boleh dirunding serta keadaan suasana hotel ini yang cukup cantik dan kemas turut menarik hati para pelancong untuk menginap di sini.En. Lim turut memberikan pandangannya bagi memajukan sektor pelancongan di Kota Tinggi. Menurut beliau pihak kerajaan perlu menambahkan lebih banyak infrastruktur dan kemudahan sehubungan dengan pembangunan yang semakin pesat membangun di Bandar Kota Tinggi.Nasha Hotel merupakan salah sebuah hotel yang agak terkenal di Bandar Kota Tinggi. Menurut pengurus hotel ini, Puan Nasha yang berbangsa cina, Hotel Nasha ini telah mula beroperasi sejak tahun 1975, iaitu sejak 32 tahun yang lalu. Bencana banjir telah mendatangkan kesan yang buruk terhadap hotel ini. Hotel ini tidak beroperasi selama 2 bulan selepas kejadian banjir. Pihak hotel juga turut mengalami kerugian yang besar sehingga mencapai RM100 000 dari segi barangan perabot, lif dan mesin-mesin. Tambahan beliau hotel ini terpaksa mengambil masa hampir setengah tahun untuk pulih semula seperti sediakala. Pelancong yang kerap mengunjungi hotel ini adalah terdiri daripada bangsa-bangsa asing seperti bangsa Denmark, Eropah, New Zealand, Singapura dan penduduk tempatan sendiri.Kelebihan hotel ini adalah terletak pada layanan yang istimewa daripada pihak hotel serta keadaan hotel yang bersih dan menarik. Puan Nasha turut mengatakan langkah-langkah yang akan di ambil oleh pihak hotel bagi mengatasi masalah banjir pada masa akan datang adalah dengan tidak mengambil risiko membeli barang-barang dan mesin-mesin yang bernilai harga tinggi buat masa ini.

tOurists in Kota TinGGi


Pelancong yang berkunjung di Kota Tinggi



Kami telah menjalankan soal selidik dan pemerhatian ke atas 10 orang responden, yang kebanyakannya berumur 40 tahun ke atas. 6 orang daripada mereka adalah warganegara Singapura dan selebihnya adalah daripada Negara Matahari Terbit,Jepun. Kesemua pelancong dari Singapura ini datang bersama rombongan yang menaiki bas. Mereka ini datang hanyalah sehari ke Kota Tinggi memandangkan jarak perjalanan yang tidak memakan masa yang lama dan juga sebagai tempat persinggahan terakhir sebelum pulang ke Singapura. Mereka datang bersama keluarga dan sahabat handai ke Johor adalah untuk melarikan diri dari kesibukan dalam kehidupan seharian.
Tempat yang menjadi tarikan utama pelancong-pelancong ini ialah Sungai Johor yang kaya dengan khazanah alam semulajadinya iaitu kehadiran kunang-kunang yang mampu memukau mata yang memandang di malam hari. Selain itu, mereka juga gemar membeli-belah terutamanya barangan tekstil di Bazar Kota yang digelar ‘mini Kelantan’ oleh peniaga tempatan. Segelintir daripada mereka pernah berkunjung ke Kota Tinggi sebelum ini terutama pada waktu cuti sekolah. Bagi pelancong-pelancong dari Jepun, mereka akan menginap di hotel sekitar Kota Tinggi terutamanya Hotel May Res. Hasil temubual kami bersama mereka, hanya sebilangan yang pernah mendengar berita mengenai kejadian banjir yang berlaku di daerah Kota Tinggi ini. Kesemua respondan memberikan kerjasama yang amat baik semasa kami menyoal dan menemubual mereka.

Sunday, September 23, 2007

fAscinAting fiRefLieS

sebelum menaiki bot menyelusuri Sungai Johor
Salah satu destinasi pelancongan menarik yang menjadi kajian kami ialah aktiviti melihat Kunang-kunang di sepanjang Sungai Johor. Hasil temuramah dan soal selidik, kami mendapati terdapat dua syarikat milik dua orang individu yang menjalankan aktiviti pelancongan melihat kunang-kunang ini secara sah. Salah satunya yang terdapat di tepi sungai di dalam pekan Kota Tinggi. Pemilik berkenaan merupakan seorang warga cina dan telah menjalankan aktiviti ini secara sah sejak dari tahun 1960-an lagi. Menurut beliau, idea membuka syarikat pelancongan ini datang apabila beliau sendiri menyusuri sungai Johor 40 tahun yang lalu dan mendapati di sepanjang sungai berkenaan memang banyak dihuni oleh spesies kunang-kunang yang jarang ditemui . Oleh itu, beliau pun memulakan perniagaan tersebut. Pada awal pembukaannya sehingga sebelum peristiwa banjir yang dasyat berlaku pada penghujung bulan Disember dan awal Bulan Januari berlaku, pelancong yang datang untuk melihat Kunang-kunang tidak dinafikan memang ramai bilangannya sehingga beliau sendiri terpaksa menambah bot-bot laju untuk memenuhi kehendak pelancong. Kebanyakan pelancong yang datang adalah terdiri daripada pelancong asing dari Singapura, Korea, Jepun dan Eropah dan juga pelancong tempatan. Setelah berlakunya peristiwa banjir yang melanda daerah berkenaan dengan teruk sekali, sebulan selepas kejadian banjir, memang tiada langsung pelancong yang datang untuk melihat kunang-kunang di sungai Johor. Keadaan ini menyebabkan beliau terpaksa menanggung kos yang boleh dikatakan agak tinggi ekoran daripada ketiadaan pelancong yang ingin melawati kawasan berkenaan. Dua bulan selepas kejadian banjir yang berlaku pada awal bulan Januari, barulah pelancong mula datang untuk menikmati keindahan kelipan kunang-kunang pada waktu malam. Menurut beliau lagi, walaupun syarikat beliau sudah lama beroperasi semula, tetapi jumlah pelancong yang datang melawat kawasan tumpuan kunang-kunang sangat kurang jika hendak dibandingkan dengan keadaan sebelum berlakunya peristiwa hitam yang menghantui semua penduduk dan peniaga di kawasan Kota Tinggi. Mungkin juga menurut pendapat beliau, ketika banjir berlaku di sepanjang sungai Johor, ia telah menghapuskan habitat dan juga sumber makanan kunang-kunang berkenaan. Dan ini memang diakui sendiri oleh jurupandu bot bernama Din dari Indonesia yang membawa kumpulan kami melawati tempat kunang-kunang di sepanjang sungai berkenaan . Kami juga terpesona melihat keindahan khazanah alam ini. Satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

penEmuAn KajiAn di MaKaM LAksaMAna BentAn


bergambar di hadapan Makam Laksamana Bentan


hasil temuramah dengan penduduk Kampung Kelantan sedikit sebanyak memberi gambaran kepada kami untuk menjawab persoalan yang di ketengahkan. Makam Laksamana Bentan. mempunyai hubungkait yang amat rapat dengan dengan peristiwa Sultan Mahmud Mangkat Dijulang iaitu pada bulan Ogos, 1699. Menurut cerita yang diberitahu oleh seorang penduduk tempatan yang sudah berusia 75 tahun, semasa Megat Seri Rama (Laksamana Bentan) menjalankan tugas menumpaskan lanun, beliau meninggalkan isterinya Dang Anum yang sarat mengandung. Dang Anum mengidam buah nangka. Nangka yang diambilnya adalah dari pokok nangka di kebun sultan. Perbuatan menebuk nangka itu amat dimurkai oleh sultan kerana dianggap menghina baginda. Dang Anum menyatakan bahawa nangka itu bukan untuknya tetapi untuk anak didalam kandungannya. Akhirnya sultan memerintahkan supaya perut Dang Anum dibelah bagi membuktikan benar atau tidak kata-kata Dang Anum. Apabila dilihat sendiri oleh baginda nangka tersebut berada di mulut bayinya, baginda menyesal di atas tindakan itu tetapi sudah terlambat.Mengetahui kejadian itu, maka Megat Seri Rama telah menikam baginda sultan ketika baginda berangkat ke masjid untuk menunaikan solat jumaat. Tikaman Megat Seri Rama tepat kena kepada sultan. Ketika baginda hendak rebah, baginda sempat disambut oleh pengiringnya lalu dijulang. Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, baginda sempat melontarkan kerisnya kea rah Megat Seri Rama dan tepat mengenai kakinya lalu Megat Seri Rama meninggal dunia. Kedua-dua jenazah dikebumikan di dalam daerah Kota Tinggi, tetapi di tempat yang berbeza. Makam Sultan Mahmud berada di Kampung Makam manakala Makam Laksamana Bentan ditempatkan di dalam Kampung Kelantan.Ekoran peristiwa tersebut, kejadian menarik ini telah tersebar ke seluruh negeri yang terdapat di Malaysia sehingga ke hari ini. Menurut temubual lagi, semenjak jalan raya yang menghubungkan pekan Kota Tinggi dengan Kampung Kelantan dibuat iaitu pada tahun 1950-an, lebih ramai pelancong dalam dan luar Negara datang berpusu-pusu ke Makam berkenaan bagi melihat sendiri dan memahami peristiwa sejarah yang amat bermakna ini. Boleh dikatakan hampir setiap hari pelancong akan datang ke tempat berkenaan khususnya dari utara semenanjung, Sabah dan Sarawak. Bahkan ada juga pengkaji dan penyelidik sejarah yang datang dari universiti-universiti bagi mengkaji sejarah Malaysia lama.Dalam sejarah banjir selama beberapa kali yang berlaku di Kampung Kelantan, Makam Laksamana Bentan tidak pernah dinaiki air kerana kedudukannya yang sedikit tinggi walaupun berada di tepi sungai. Namun, dalam kejadian banjir kedua yang berlaku pada awal bulan Januari tahun ini (2007), makam tersebut telah ditenggelami air sehingga ke paras tiang besi yang mengelilingi makam berkenaan. Sebaik sahaja banjir surut, usaha-usaha membaikpulih makam berkenaan dijalankan dengan kadar yang segera bagi menjaga khazanah sejarah yang bernilai ini.Segala usaha membaikpulih dijalankan sendiri oleh penduduk kampung yang tinggal berdekatan dengan makam berkenaan dan turut dibantu oleh Tok Ketua daerah Kota Tinggi dan jabatan-jabatan kerajaan lain. Selang beberapa hari usaha pembersihan dan baik pulih dijalankan, makam berkenaan kembali kepada keadaannya yang asal. Pada mulanya, selepas aktiviti pembersihan telah dijalankan, pelancong-pelancong kurang datang melawat makam berkenaan kerana takut akan peristiwa banjir berulang kembali. Tetapi dalam hujung bulan Febuari, jumlah pelawat yang datang ke Makam berkenaan kembali normal. Malahan semakin bertambah ramai dari masa ke semasa. Hal ini mungkin disebabkan masyarakat mula sedar akan kedudukan sejarah tersebut di dalam sejarah Malaysia, khususnya di negeri Johor.

FirsT iNteLLigent GardEn City~~


PUTRAJAYA
Putrajaya, atau gelarannya,‘First Intelligent Garden City’ adalah cetusan idea bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Tugasnya dalah untuk menggantikan peranan Kuala Lumpur. Ini adalah sejajar dengan dasar kerajaan yang inginkan satu pembangunan seimbang jauh dari Bandaraya Kuala Lumpur. Ia juga telah disebabkan oleh desakan kehidupan di Kuala Lumpur serta untuk memastikan pertumbuhan berterusan di Lembah Klang. Putrajaya yang berlokasi kurang 25 km dari bandaraya Kuala Lumpur dan 20 km dari lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA di Sepang. Wilayah Persekutuan Putrajaya berada ditengah-tengah Projek Koridor Raya Multimedia (MSC) dengan KLCC di Kuala Lumpur. Sebelum menjadi Putrajaya, kawasan ini dikenali sebagai Prang Besar dan tertakluk di bawah daerah Sepang. Dahulunya, kawasan ini merupakan ladang getah dan kelapa sawit. Kemudian, ia diambil semula oleh Kerajaan Persekutuan dengan tujuan untuk pembangunan kerana lokasinya yang strategik..Pada 1.2.2001 Putrajaya diisytiharkan menjadi Wilayah Persekutuan oleh Perdana Menteri Malaysia. Pengisytiharan Putrajaya mencatatkan satu sejarah baru dalam perancangan bandaraya moden di Malaysia. Putrrajaya dibangunkan menjadi satu model bandaraya taman dengan rangkaian maklumat canggih berteraskan teknologi-teknologi multimedia. dalam dua tema iaitu ‘Bandar dalam Taman’ dan ‘Bandaraya Pintar’. Putrajaya mementingkan pengekalan ekosistem yang sedia ada disamping mengamalkan cara hidup yang aman, mesra, dan aktif didalam sesebuah Putrajaya merupakan satu projek pembangunan yang berprestij yang direka dan dibangunkan dengan segala kesempurnaan. Perancangannya menggabungkan reka bentuk moden, tradisional dan campuran disamping mengekalkan konsep kehijauan yang ketara dimana ia turut menerapkan nilai mesra alam dengan 38% daripada keluasannya di peruntukan bagi pembangunan kawasan rekreasi, taman dan tasik sesuai dengan konsep bandaraya dalam taman. Bandaraya bestari ini merangkumi tujuh komponen kebestarian Putajaya menurut Pelan Induk IT Putrajaya iaitu:

Bangunan pintar
Sistem penganagkutan pintar
Sekolah bistari
Kemudahan sokongan
Kemudahan awam
Teleperkhidmatan

Saturday, September 22, 2007

nUsaJaya to become adMin of Johor

klik tajuk di atas untuk sedikit berita mengenai Nusajaya

Sunday, September 9, 2007

Laporan kerja lapangan Kota Tinggi

Pada 1-3 September kami telah selesai menjalani kerja lapangan di Kota Tinggi. Persoalan yang kumpulan kami kaji iaitu "Adakah sektor pelancongan di Kota Tinggi telah pulih sepenuhnya?" telah terjawab. Setibanya kami di Kota Tinggi pada pukul 1 September,kami bergegas ke bandar untuk menjalankan soal-selidik terhadap para pengusaha tekstil. Perusahaan tekstil ini juga adalah salah satu tarikan pelancong untuk datang membeli-belah.Pada sebelah malam pula, kami telah menaiki bot di tepi Sungai Johor untuk mengalami sendiri pengalaman melihat kunang-kunang di Sungai Johor. Bayaran yang dikenakan adalah RM15 untuk seorang. Sepanjang menaiki bot,kami terpegun dengan keindahan khazanah alam ini. Semasa berada di dalam bot, kami mendapati bahawa majoriti penumpang adalah pelancong asing yang berasal dari Singapura dan Jepun.

Keesokan paginya,2 September, kami telah Kampung Kelantan untuk melawat salah satu tempat pelancongan yang terdapat di Kota Tinggi iaitu Makam Laksamana Bentan.Kami mendapati kawasan ini dibersihkan oleh penduduk Kampung Kelantan. Kami juga berkesempatan untuk menemubual penduduk di sekitar makam tersebut. Kemudian, pada pukul 2 petang, kami berjalan-jalan di sekitar Bandar Kota Tinggi. Kami mengunjungi hotel-hotel yang ada untuk menemuramah pemilik-pemilik hotel mengenai impak banjir kepada perniagaan mereka. Hotel-hotel tersebut ialah Hotel Pilton, Hotel Nasha, Hotel Mayres dan Hotel White Lillies. Pada sebelah malam pula, kami mengadakan perbincangan dalam kumpulan.
Pagi 3 September pula dimulakan dengan kunjungan ke Pejabat Daerah Kota Tinggi. Ketika sesi dialog bersama Tuan Haji Zainuddin, persoalan kami terjawab. Kemudian kami ke Jabatan Kerja Raya untuk menemuramah Encik Saad, seorang pekerja di sana, untuk mendapatakn maklumat mengenai projek-projek yang dijalankan untuk membaikpulih jalanraya di sekitar tempat-tempat pelancongan. Selepas itu, kami berjalan kaki ke Muzium Kota Tinggi untuk meneruskan kajian. Walaupun agak jauh dari Pejabat Daerah, tetapi penat lelah kami hilang setelah bertemu dengan penolong kurator muzium. Beliau telah membekalkan kami dengan maklumat berguna di samping membenarkan kami menggunakan perpustakaan muzium tersebut. Setelah selesai melawat muzium, kami pulang ke Pejabat Daerah dan tepat 4 petang, kami bertolak pulang ke UKM.